Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) – Tarikan Utama & Tiket Masuk
Sekiranya anda mencari destinasi menarik di sekitar Selangor untuk bawa anak-anak bercuti dan berseronok, Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) adalah salah satu lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai anda.
Terletak tidak jauh dari bandar, kawasan ini menawarkan pengalaman luar bandar yang sukar didapati di tempat lain. Terdapat pelbagai tarikan menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Jom baca lebih lanjut mengenai Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) di bawah.
BACA JUGA: Gamuda Splash Mania: Pengalaman Air Paling Epik Menanti Anda! | KIDS PLAY FOR FREE
Paya Indah Discovery Wetlands – Pengenalan

Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) merupakan sebahagian daripada kawasan paya bakau dan tasik semula jadi yang dipulihara dan diuruskan oleh Gamuda Land.
Kawasan ini pada asalnya adalah tanah paya yang telah diubah suai menjadi taman rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan ekosistem paya serta menyediakan ruang rekreasi yang selamat dan menyeronokkan.
Sejak dibuka kepada umum, Paya Indah Discovery Wetlands telah menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti keluarga, pendidikan alam sekitar dan juga majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan dan sambutan korporat.
Sebagai maklumat tambahan, Paya Indah Wetlands mempunyai dua pintu masuk utama yang menawarkan pengalaman berbeza:
- Gate 1 (Paya Indah Wetlands): Gate 1 ialah pintu masuk utama yang diuruskan oleh kerajaan (PERHILITAN). Ia merupakan taman rekreasi awam dengan kemasukan percuma. Di sini anda boleh melakukan aktiviti santai seperti memancing, berbasikal, berkayak, serta penginapan chalet yang berpatutan.
- Gate 2 (Paya Indah Discovery Wetlands @ Gamuda Cove): Gate 2 pula diuruskan oleh Gamuda Land sebagai Paya Indah Discovery Wetlands. Konsepnya lebih kepada ekopelancongan moden dengan pelbagai aktiviti berbayar seperti Safari Insta Tour, Nature Wanderlust, menaiki bot, lawatan berpandu dengan ranger, serta program pendidikan alam sekitar.
Paya Indah Discovery Wetlands juga lengkap dengan kemudahan moden seperti kafe, ruang acara, dewan perkahwinan, dan pusat maklumat.
Anda boleh datang untuk hari keluarga, team building, atau sekadar nak tenangkan fikiran jauh dari kesibukan bandar.
Waktu Operasi & Lokasi
- Alamat: Discovery Wetlands Centre @ Discovery Park, Persiaran Cove Central, Bandar Gamuda Cove, 42700 Dengkil, Selangor Darul Ehsan
- Waktu Operasi: 9 pagi – 5 petang
Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) mudah diakses melalui Lebuhraya ELITE dan juga jalan utama dari Putrajaya dan Cyberjaya.
Anda boleh menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze dengan kata kunci “Paya Indah Discovery Wetlands Gate 2” untuk panduan perjalanan yang tepat.
Terdapat juga papan tanda jelas di sepanjang jalan utama menuju ke kawasan ini, memudahkan pengunjung dari pelbagai lokasi. Kemudahan tempat letak kereta yang luas turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.
Harga Tiket Masuk
Harga tiket masuk ke Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2) adalah berbeza mengikut jenis aktiviti atau pakej yang anda pilih.
Harga tiket untuk aktiviti asas bermula dari sekitar RM10 hingga RM30 seorang, bergantung kepada jenis aktiviti seperti Nature Playhouse, Safari Insta Tour, Nature Wanderlust, pelayaran bot, dan lain-lain.
Beberapa aktiviti seperti memberi makan haiwan atau menaiki trem dikenakan caj tambahan sekitar RM5 sehingga RM10 seorang.

Harga boleh berubah mengikut musim, acara atau pakej yang dipilih. Kadangkala terdapat promosi istimewa seperti masuk percuma untuk acara tertentu.
Untuk maklumat harga terkini dan lebih terperinci, anda boleh semak terus di laman rasmi GL Play atau di kaunter tiket.
Cara Beli Tiket Masuk
Tiket boleh dibeli secara atas talian melalui laman rasmi GL Play Ticket Hub atau melalui platform tempahan seperti Traveloka dan Klook.
Pilih pakej atau aktiviti yang diingini, buat pembayaran, dan anda akan menerima e-tiket untuk ditunjukkan di pintu masuk.
Selain itu, anda juga boleh membeli tiket secara walk-in di kaunter tiket yang terletak di Discovery Park, Gamuda Cove.
Namun, untuk mengelakkan kesesakan, pembelian secara online sangat digalakkan, terutamanya pada hujung minggu atau cuti sekolah.
NOTA: Pastikan anda sentiasa menyemak laman rasmi atau media sosial Paya Indah Discovery Wetlands untuk promosi terkini, harga pakej berkumpulan serta info aktiviti terbaru sebelum membuat pembelian.
Tarikan Utama Paya Indah Discovery Wetlands

1. Safari Insta Tour & Nature Wanderlust
Salah satu tarikan paling popular di Paya Indah Discovery Wetlands ialah Safari Insta Tour, salah satu aktiviti daripada pakej Nature Wanderlust.
Anda akan menaiki kenderaan safari khas dan dibawa menjelajah kawasan tanah lembap seluas 1,111 ekar.
Sambil-sambil tu anda boleh melihat pelbagai spesies haiwan liar seperti burung eksotik, rusa, badak air dan buaya dalam habitat semula jadi mereka. Di sepanjang perjalanan, jangan lupa ambil gambar-gambar menarik untuk dijadikan kenangan.
2. Pelayaran Bot di Tasik

Bagi yang sukakan suasana santai, pelayaran bot di tasik Paya Indah adalah aktiviti yang wajib anda cuba.
Dengan menaiki bot, anda boleh menikmati pemandangan hijau yang menenangkan, melihat burung-burung berterbangan dan mungkin juga terserempak dengan haiwan liar di tebing tasik.
Kalau nak masa pagi atau petang, memang cantik sangat pemandangan. Sesuailah untuk sesi healing atau bawa keluarga beriadah.
3. Nature Playhouse & Program Kanak-Kanak
Untuk anak-anak, Nature Playhouse menawarkan ruang bermain dan belajar dalam suasana alam semula jadi.
Kanak-kanak boleh ikut program interaktif seperti Jungle School Programme yang menggabungkan pembelajaran luar kelas, aktiviti kreatif, dan penerokaan alam.
Mereka juga berpeluang kenal flora dan fauna tempatan, main peranan sebagai petani muda serta bawa pulang cenderamata kraf Orang Asli. Memang best untuk pupuk minat anak terhadap alam sejak kecil!
4. Wetlands Arboretum Centre
Pusat ini berfungsi sebagai bank benih hutan dan pusat pendidikan alam sekitar. Pengunjung boleh belajar tentang kepelbagaian tumbuhan tanah lembap, penyelidikan pemuliharaan, serta menyertai program-program pendidikan bersama pakar.
Aktiviti ini sangat sesuai untuk pelajar, guru atau sesiapa yang nak lebih faham tentang ekosistem paya dan usaha pemeliharaan biodiversiti.
5. Aktiviti Santai & Rekreasi
Selain itu, banyak lagi aktiviti santai boleh dicuba seperti:
- Memberi makan haiwan di Hippo Pond dan Crocodile Lake
- Memancing di tasik
- Menunggang kuda di laluan khas
- Berbasikal mengelilingi kawasan paya
- Bird watching untuk pencinta burung
- Trekking alam semula jadi
- Menaiki belon udara panas untuk pemandangan dari udara (bergantung pada musim dan acara khas)

BACA JUGA: GAMUDA Waterpark – Taman Tema Air Dengan Lebih 25 Tarikan!
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai Paya Indah Discovery Wetlands (Gate 2), anda boleh rujuk terus ke laman rasmi mereka di: www.discoverywetlands.com.my
Selain itu, anda juga boleh layari www.glplay.com.my untuk mengetahui mengenai pakej, tempahan tiket online, acara khas dan info terkini berkaitan aktiviti di bawah Gamuda Land.
Jika anda perlukan bantuan segera atau ingin bertanya lebih lanjut, boleh hubungi nombor telefon rasmi mereka di 012-932181.
Untuk update pantas dan promosi terkini, jangan lupa follow media sosial:
- Facebook: GL Play by Gamuda Land
- Instagram: @glplay.my