site stats Pasar Payang Terengganu – Tarikan Utama & Waktu Operasi – Eze To Movem

Pasar Payang Terengganu – Tarikan Utama & Waktu Operasi

Pasar Payang Terengganu – Waktu Operasi, Kemudahan & Tarikan Utama

Pasar Payang Terengganu adalah merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu yang anda wajib singgah apabila berkunjung ke negeri ini. 

Pasar ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk tempatan malah menjadi tumpuan pelancong yang datang dari pelbagai tempat. 

Kalau anda nak menyelami kehidupan masyarakat setempat sambil membeli belah, inilah tempatnya. Ada pelbagai jenis barangan yang anda boleh dapatkan di sini. Silap-silap, berjam-jam pun belum puas pusing satu pasar!

Nak tahu apa lagi yang menarik di Pasar Payang Terengganu ini, jom baca perkongsian di bawah. 

BACA JUGA: 15+ Tempat Menarik di Terengganu 2025

Sejarah & Pengenalan Pasar Payang Terengganu 

Pasar Payang Terengganu atau nama rasminya Pasar Kedai Payang adalah merupakan tarikan utama di Kuala Terengganu. 

Pasar ini terletak strategik di tepi Sungai Terengganu dan berhampiran Jeti Shahbandar. Ia sangat mudah diakses dan dikelilingi oleh pelbagai tarikan lain seperti Chinatown dan Masjid Abidin.

Pasar ini juga terletak berdekatan dengan Bazar Warisan dan Kompleks Stesen Bas MBKT. 

Sumber: Sinar Harian

Nama “Pasar Payang” dipercayai diambil daripada perahu payang, iaitu sejenis bot tradisional yang digunakan oleh nelayan Terengganu untuk aktiviti perdagangan dan menangkap ikan sejak zaman dahulu. 

Ada juga pendapat yang mengatakan nama ini berasal daripada sebutan “tempayan”, merujuk kepada tempayan besar yang digunakan untuk menyimpan barang dagangan.

Pasar ini mula beroperasi sejak tahun 1960-an dan terus berkembang menjadi pusat jual beli utama bagi masyarakat tempatan. 

Pasar Payang kini beroperasi dalam sebuah bangunan dua tingkat yang moden namun masih mengekalkan suasana pasar tradisional. Terdapat dua bangunan utama yang sering dirujuk sebagai Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2:

Pasar Payang 1: Merupakan bangunan utama baharu dua tingkat yang menempatkan jualan produk kraftangan, batik, songket, kain sutera, barangan logam, pakaian tradisional serta cenderamata. Ia juga menempatkan sebahagian gerai makanan dan minuman tradisional Terengganu di bahagian tertentu.

Pasar Payang 2: Lebih memfokuskan kepada jualan barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, hasil laut, serta barangan runcit harian. Ada juga peniaga makanan dan kuih-muih tradisional di sini. 

Kedua-dua bangunan ini terletak bersebelahan, memudahkan pengunjung untuk menikmati pengalaman membeli-belah yang lengkap – dari produk kraftangan, pakaian, hingga ke barangan basah dan makanan tradisional.

Selain membeli-belah, pengunjung juga boleh mencuba pelbagai makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, sata, nasi dagang, dan kuih-muih yang sukar didapati di tempat lain.

BACA JUGA: 15 Makanan Negeri Terengganu – Wajib Cuba [2025]

Waktu Operasi

Pasar Payang dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 6 petang. Walau bagaimanapun, pada hari Jumaat, kebanyakan peniaga akan menutup gerai mereka untuk solat Jumaat, terutamanya sekitar waktu tengah hari.

Namun, terdapat juga beberapa gerai yang tetap beroperasi pada hari tersebut, jadi anda masih boleh membeli-belah tetapi dengan pilihan yang lebih terhad.

  • Setiap hari, 7 pagi – 6 petang. 
Sumber: Sinar Harian

NOTA TAMBAHAN:

  • Pasar Payang juga dibuka pada cuti umum dan hujung minggu
  • Jika anda ingin mengelakkan kesesakan, kunjungi pasar pada hari bekerja dan waktu pagi.
  • Kebanyakan transaksi di Pasar Payang adalah secara tunai namun sesetengah kedai menerima pembayaran kad untuk pembelian besar.
  • Pastikan anda berpakaian sesuai kerana suasana pasar boleh menjadi agak panas. 

Kemudahan

Berikut adalah antara kemudahan utama yang disediakan di Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2:

  1. Eskalator & Lif: Kemudahan ini dapat memudahkan warga emas, ibu bapa dengan anak kecil dan OKU
  2. Bilik Persalinan Bayi: Bilik ini disediakan untuk kemudahan keluarga yang membawa anak kecil.
  3. Surau: Kemudahan surau untuk pengunjung dan peniaga menunaikan solat dengan selesa.
  4. CCTV & Keselamatan: Kamera litar tertutup dipasang di seluruh kompleks pasar untuk memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga.
  5. Medan Selera: Terdapat medan selera di Pasar Payang 2 yang menawarkan pelbagai makanan tempatan, kuih-muih, dan minuman tradisional.
  6. Kemudahan Bayaran Tanpa Tunai: Banyak gerai kini menerima pembayaran melalui QR code, e-wallet seperti Touch ‘n Go, Boost, serta kad debit/kredit, selain pembayaran tunai.
  7. ATM: Mesin ATM disediakan untuk kemudahan pengunjung mengeluarkan wang tunai.
  8. Tempat Letak Kenderaan: Terdapat kawasan parkir yang luas dan mudah diakses untuk memudahkan pengunjung meletakkan kenderaan.

Apa yang Menarik di Pasar Payang?

Pasar Payang Terengganu menawarkan pelbagai jenis barangan untuk anda membeli-belah atau mencari ole-ole khas Terengganu. Antaranya ialah:

1. Koleksi Kain Tradisional & Kraftangan Eksklusif

Tingkat atas Pasar Payang adalah syurga bagi pencinta tekstil dan kraftangan tempatan. Di sini, anda boleh menemui pelbagai jenis batik Terengganu, songket tenunan tangan, kain sutera, brokat serta kraftangan seperti beg rotan, barangan tembaga dan cenderamata unik. 

Sumber: DagangNews

2. Makanan & Kuih Tradisional Terengganu

Di bahagian tingkat bawah pasar menawarkan pelbagai juadah tempatan yang autentik. Anda boleh mencuba keropok lekor yang rangup, sata, otak-otak, nasi dagang serta aneka kuih tradisional seperti akok, kuih lapis, seri muka dan sebagainya.

3. Hasil Laut & Barangan Basah

Terengganu memang terkenal dengan hasil lautnya yang segar-segar. Terdapat pelbagai jenis ikan, sotong, udang dan hasil laut lain boleh didapati pada harga berpatutan di pasar ini. Selain itu, terdapat juga sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan rempah ratus yang anda boleh beli di sini.

Sumber: Amazing Terengganu

4. Suasana Meriah & Interaksi Budaya

Suasana pasar ini memang sangat meriah dan sibuk dengan aktiviti jual beli dan tawar-menawar serta keramahan peniaga tempatan. Aktiviti jual beli di sini mencerminkan kehidupan harian masyarakat Terengganu.

5. Barangan Tradisional & Cenderamata

Selain tekstil, anda juga boleh mendapatkan pelbagai barangan tradisional seperti keris, perhiasan tembaga, mainan tradisional dan perabot kecil yang mencerminkan warisan seni Terengganu. Sesuai sangat dijadikan untuk ole-ole. 

6. Lokasi Strategik & Mudah Diakses

Pasar Payang ini juga terletak di lokasi yang sangat strategik. Ia terletak di tengah bandar Kuala Terengganu, berhampiran Jeti Shahbandar, Chinatown dan Bazar Warisan. 

7. Peluang Tawar – Menawar

Di pasar ini anda boleh tawar menawar secara langsung dengan peniaga. Ini membolehkan anda membeli belah dengan harga terbaik. Jangan lupa gunakan kemahiran menawar anda sebaiknya!

BACA JUGA: 15+ Restoran Shellout Popular di Terengganu [2025]

About admin