free hit counter Cagu Kuku Boleh Jadi Serius Jika Tidak Dirawat – Ambil Tahu Sekarang! – My Blog

Cagu Kuku Boleh Jadi Serius Jika Tidak Dirawat – Ambil Tahu Sekarang!

Cagu kuku mungkin kelihatan seperti masalah kecil, tetapi jika dibiarkan tanpa rawatan ia boleh menyebabkan kesakitan teruk, jangkitan, dan menyukarkan pergerakan harian.

Masalah ini berlaku apabila tepi kuku tumbuh masuk ke dalam kulit di sekelilingnya, menyebabkan keradangan dan ketidakselesaan.

Artikel ini akan menerangkan punca, tanda-tanda, rawatan yang sesuai serta langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

Baca juga: Bisul di Punggung Boleh Berulang? Ini Cara Elak Ia Datang Lagi

Apa itu Cagu Kuku?

cagu kuku
Cagu kuku boleh menyebabkan jangkitan serius jika dibiarkan

Menurut American Family Physician, cagu kuku, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai onychocryptosis, adalah keadaan biasa di mana tepi kuku jari kaki tumbuh masuk ke dalam kulit di sekelilingnya (periungual skin).

Keadaan ini menyebabkan kawasan sekeliling kuku mengalami keradangan, bengkak, dan dalam banyak kes boleh dijangkiti kuman.

Cagu kuku paling kerap berlaku pada ibu jari kaki (hallux) dan boleh menyerang sesiapa sahaja, namun lebih kerap berlaku dalam kalangan remaja dan orang muda.

Jika tidak dirawat, cagu kuku boleh menyebabkan kesakitan yang teruk, rasa tidak selesa ketika berjalan, dan dalam kes yang lebih serius boleh menjejaskan pergerakan harian seseorang.

Punca Cagu Kuku

1. Memakai Kasut yang Terlalu Ketat

Kasut yang sempit atau terlalu ketat, terutama di bahagian depan, memberi tekanan berterusan pada ibu jari kaki.

Tekanan ini menolak kuku ke arah kulit sekeliling, terutama di dinding kuku bahagian dalam (medial) dan luar (lateral).

Apabila kuku ditekan secara tidak normal, ia cenderung untuk tumbuh masuk ke dalam kulit, mencetuskan keradangan dan kesakitan.

2. Potongan Kuku yang Tidak Betul

Memotong kuku jari kaki terlalu pendek atau dengan bentuk bulat boleh menyebabkan tisu lembut di sisi kuku terdedah kepada tekanan.

Ini membolehkan kuku tumbuh secara tidak normal ke dalam kulit. Kuku sepatutnya dipotong lurus bagi mengelakkan risiko cagu kuku.

3. Peluh Berlebihan (Hyperhidrosis)

Peluh yang banyak menyebabkan kulit sekitar kuku menjadi lembap dan lembik (maceration).

Keadaan ini menjadikan kulit lebih mudah ditembusi oleh kuku yang tumbuh, lalu mencetuskan masalah cagu kuku, terutamanya jika kaki sering tertutup tanpa pengudaraan yang baik.

4. Jangkitan Kuku

Jangkitan seperti tinea unguium (kulat kuku) boleh menyebabkan kuku menjadi rapuh dan mudah pecah.

Bahagian kuku yang tajam akibat pecahan ini boleh menikam ke dalam kulit dan menjadi punca kepada cagu kuku yang menyakitkan.

5. Kelainan pada Struktur Kuku dan Jari Kaki

Bentuk kuku yang abnormal, seperti kuku terlalu melengkung (pincer nail), kuku terlalu nipis, atau susunan kuku yang tidak betul sejak lahir boleh menyumbang kepada masalah cagu kuku.

Selain itu, ibu jari kaki yang berpusing ke dalam (medial rotation) turut meningkatkan risiko kuku tumbuh secara tidak normal ke arah kulit.

6. Faktor Genetik dan Masalah Kesihatan Tertentu

Dalam sesetengah kes, cagu kuku berlaku sejak bayi akibat kelainan kongenital atau trauma ketika dalam kandungan. Ia juga boleh diwarisi daripada ahli keluarga yang mengalami masalah sama.

Pesakit diabetes juga lebih mudah mengalami cagu kuku kerana mereka lebih cenderung kepada jangkitan dan masalah peredaran darah.

7. Kesan Sampingan Ubat-Ubatan dan Ketumbuhan

Beberapa jenis ubat seperti indinavir, retinoid, cyclosporine, dan rawatan antifungal oral telah dilaporkan menyebabkan pertumbuhan kuku tidak normal.

Selain itu, ketumbuhan di bawah kuku (subungual neoplasm) boleh menolak kuku ke arah kulit dan menjadi pencetus cagu kuku.

cagu kuku
Selalunya berlaku pada ibu jari kaki, disebabkan tekanan kasut dan bentuk kuku yang lebih besar

Baca juga: Cara Hilangkan Panau dan Elak Ia Datang Kembali – Tip Pakar Kulit

Simptom & Gejala

Menurut American College of Food and Ankle Surgeons, simptom dan gejalanya adalah seperti berikut:

Tahap 1

  • Hujung jari kaki menjadi kemerahan dan sedikit bengkak
  • Mungkin terasa hangat dan sakit bila disentuh
  • Tiada nanah atau cecair keluar dari kawasan tersebut

Tahap 2

  • Jari kaki semakin merah, bengkak dan terasa lebih sakit
  • Mungkin keluar nanah berwarna putih atau kuning dari kawasan kuku
  • Jangkitan mungkin sudah mula berlaku

Tahap 3

  • Gejala kemerahan, bengkak dan sakit menjadi semakin teruk
  • Tisu granulasi (daging lebih) mula terbentuk, menyebabkan bengkak dan cecair nanah bertambah
  • Kulit di sekeliling kuku (lipatan sisi kuku) menjadi tebal atau terlebih tumbuh
  • Jangkitan boleh menjadi lebih serius dan disertai demam
Jika cagu kuku teruk, ia boleh membawa kepada gejala sistemik seperti demam dan menggigil

Rawatan yang Boleh Diberikan

Menurut National Center for Biotechnology Information, rawatan yang boleh berikan untuk menangani masalah ini adalah seperti berikut:

1. Langkah Umum

Rawatan awal bagi cagu kuku peringkat ringan hingga sederhana (tahap 1 dan 2) melibatkan perubahan gaya hidup dan penjagaan kaki.

Ini termasuk memakai kasut yang sesuai (tidak terlalu sempit), memotong kuku secara lurus dan tidak terlalu pendek, serta mengelakkan pemotongan kuku secara membulat di sisi.

Faktor penyumbang seperti peluh berlebihan (hyperhidrosis) dan jangkitan kulat kuku (onychomycosis) juga perlu dirawat.

Merendam kaki dalam air suam yang dicampur sabun atau garam Epsom selama beberapa minit boleh mengurangkan bengkak dan sakit.

Penggunaan krim antibiotik dan sapuan steroid topikal pada tisu granulasi juga membantu mengurangkan keradangan.

2. Kaedah Konservatif

Bagi kes cagu kuku yang belum terlalu teruk, beberapa teknik boleh dicuba:

  • Kaedah kapas (cotton-wick): Kapas halus diletakkan di bawah hujung kuku yang masuk ke kulit untuk menjarakkan kuku daripada kulit.
  • Floss gigi: Sebagai alternatif kepada kapas, benang floss dimasukkan di bawah kuku yang tumbuh ke dalam bagi mengurangkan tekanan.
  • Gutter splint/sleeve: Tiub plastik kecil (seperti tiub IV) dipotong dan diselit di sisi kuku untuk menahan kuku agar tidak menekan kulit, memberikan kelegaan segera.
  • Kaedah pita pelekat (taping): Pita dilekatkan dan dililit pada jari untuk menarik lipatan kulit menjauhi kuku, mengurangkan tekanan pada kawasan yang sakit.
  • Pendawaian kuku (nail wiring): Kawat elastik dimasukkan ke dalam hujung kuku untuk membetulkan bentuk kuku yang tidak normal.
  • Teknik lain: Seperti penggunaan kuku palsu (acrylic nails), jalur pita khas (slit tape), dan alat penjajaran kuku (nail braces).

3. Kaedah Pembedahan

Untuk cagu kuku tahap 3 atau kes berulang yang tidak lagi memberi tindak balas terhadap rawatan konservatif, pembedahan biasanya diperlukan. Prosedur dilakukan di bawah bius setempat menggunakan lidocaine atau anestetik lain. Kaedah pembedahan yang biasa termasuk:

  • Spicule excision and partial matricectomy: Mengeluarkan bahagian kuku yang tumbuh ke dalam dan sebahagian daripada matriks kuku secara mekanikal.
  • Chemical partial matricectomy: Bahan kimia seperti phenol digunakan untuk memusnahkan sebahagian akar kuku. Kaedah ini kurang menyakitkan dan menunjukkan kadar kejayaan yang tinggi.
  • Wedge resection of the toenail and nail fold: Melibatkan pemotongan kuku, matriks, dan tisu sekeliling yang tebal – namun tidak digalakkan secara umum kerana risiko komplikasi.
  • Excision of the affected nail and total matricectomy: Digunakan dalam kes yang sangat teruk atau kuku rosak sepenuhnya, di mana keseluruhan kuku dan matriksnya dikeluarkan.
  • Soft-tissue nail fold excision technique: Kaedah ini tidak menyentuh kuku tetapi membuang tisu sekeliling yang menekan kuku. Ia sesuai jika kuku bukan punca utama masalah.
  • Teknik lain: Termasuk rawatan dengan elektrokauteri, radiofrekuensi, dan laser karbon dioksida – yang semakin digunakan sebagai rawatan pilihan moden.
Pesakit diabetes perlu lebih berjaga-jaga. Masalah kaki seperti cagu boleh membawa komplikasi yang serius

Cara Elak Cagu Kuku

Masalah cagu kuku boleh dicegah dari awal dengan beberapa langkah mudah seperti:

  • Mengamalkan penjagaan kuku yang betul
  • Elakkan potong kuku terlalu pendek
  • Pakai kasut yang selesa
  • Gunakan kasut pelindung untuk elakkan kecederaan pada jari kaki jika anda aktif dalam sukan atau sering mengangkat barang berat
  • Pastikan kaki sentiasa bersih dan kering untuk mengelakkan jangkitan kulat atau bakteria

Baca juga: Masalah Kulit Kepala : Punca, Cara Mencegah dan Rawatan

Bila Perlu Jumpa Doktor

Walaupun cagu kuku ringan boleh dirawat di rumah, terdapat beberapa keadaan yang memerlukan perhatian perubatan segera. Anda perlu berjumpa doktor jika:

  • Rawatan di rumah tidak menunjukkan sebarang perubahan atau keadaan semakin teruk.
  • Jari kaki anda sangat sakit, bengkak, dan mengeluarkan nanah, tanda jelas jangkitan sudah berlaku.
  • Anda mengalami demam tinggi, badan terasa panas atau menggigil, ini boleh menandakan jangkitan telah merebak.
  • Anda menghidap diabetes dan mengalami cagu kuku, Masalah kaki bagi pesakit diabetes boleh menjadi lebih serius dan berisiko tinggi jika tidak dirawat segera

Dalam kes-kes seperti ini, rawatan profesional amat penting bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang.

About admin