site stats Bengkak Susu Apa Perlu Buat? Kenali Punca & Cara Hilangkannya – Eze To Movem

Bengkak Susu Apa Perlu Buat? Kenali Punca & Cara Hilangkannya

Bengkak susu adalah masalah yang sering dialami oleh ibu menyusu, terutamanya pada minggu-minggu awal selepas kelahiran.

Walaupun memiliki susu yang banyak adalah baik, namun ia boleh mendatangkan masalah jika kuantitinya berlebihan dalam payudara.

Keadaan ini boleh menyebabkan ibu lepas bersalin rasa tidak selesa, kesakitan, dan kadangkala mengganggu penyusuan.

Disebabkan terlalu sakit, ia juga boleh menyebabkan para ibu cepat naik angin sehinggakan boleh mengganggu aktiviti harian.

Jika tidak ditangani dengan segera, ia boleh membawa kepada komplikasi seperti mastitis atau abses payudara.

Oleh itu, memahami punca, cara hilangkan bengkak susu, dan langkah-langkah pencegahan adalah penting untuk memastikan ibu menyusu dapat melalui tempoh ini dengan lebih selesa.

Justeru artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda dengan lebih lanjut berkenaan dengan kenapa boleh jadi bengkak susu dan tips berkesan untuk memulihkannya.

Baca Juga : 12 Makanan Untuk Orang Berpantang Pembedahan, Cepat Sembuh!

Apa itu Bengkak Susu?

Bengkak susu adalah salah satu isu yang sering dihadapi oleh para ibu yang menyusukan bayi.

Keadaan ini biasanya berlaku kerana bayi tidak menyusu dengan baik, pengeluaran susu yang lebih banyak daripada keperluan bayi, atau penyusuan yang tidak kerap.

Dengan erti kata mudah, ia boleh diibaratkan seperti bekalan melebihi daripada yang diperlukan.

Kesannya, payudara akan menjadi keras dan membengkak.

Seterusnya, si ibu pula akan mengalami masalah untuk menyusukan anak.

bengkak susu
Cara hilangkan bengkak susu tersumbat di rumah.

Simptom & Punca Bengkak Susu

Kebiasaannya para ibu akan merasakan bengkak di kawasan dada sehingga ketiak.

Pada masa yang sama, beberapa simptom lain mungkin boleh dialami seperti :

  • Rasa sakit, ngilu dan bengkak pada bahagian payudara.
  • Keadaan sekitar payudara terasa panas, kelihatan kemerah-merahan dan terdapat benjolan keras apabila disentuh.
  • Puting menjadi bengkak dan bahagian areola mengeras sehingga menyukarkan si ibu untuk menyusukan anak.
  • Rasa sakit pada kelenjar di bahagian ketiak.
  • Demam ringan.

Masalah bengkak susu mungkin jarang berlaku pada kedua-dua bahagian payudara secara serentak.

Ada juga para ibu yang hanya alami bengkak pada bahagian areola atau ketiak sahaja.

Namun, para ibu tidak perlu risau bengkak susu berapa lama.

Ia merupakan kondisi yang biasa terjadi dan boleh dirawat di rumah sahaja.

bengkak susu
Rasa sakit dan ngilu pada bahagian payudara mungkin tanda ibu lepas bersalin bengkak susu.

Cara Kurangkan Bengkak Susu

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dicuba untuk meredakan masalah bengkak susu dari rumah :

  • Untuk pastikan susu ibu berjalan lancar, tuam atau basuh payudara dengan air suam.
  • Ibu juga boleh memilih untuk mandi dengan air panas dan halakan air ke bahagian payudara. Semasa mandi, jangan lupa untuk membuat urutan secara membulat di bahagian payudara.
  • Latih untuk lakukan penyusuan bayi secara rutin iaitu selama dua atau tiga jam sekali. Jika bayi sedang tidur tetapi susu tetap mengalir, anda disarankan untuk pam susu.
  • Ketika bengkak, perah susu dengan tangan. Cara ini dapat membantu mengekalkan kelembutan areola.
  • Untuk kurangkan rasa sakit akibat bengkak, anda juga digalakkan untuk membuat urutan perlahan pada bahagian payudara.
  • Sekiranya bayi anda menyusu secara terus daripada payudara, elakkan untuk mengepam susu terlalu kerap.
  • Untuk kurangkan rasa sakit, anda juga boleh tuam payudara dengan air batu sebelum dan selepas menyusukan bayi.
  • Elakkan penggunaan baju dalam atau coli penyusuan yang kecil atau terlalu kecil.
  • Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat untuk atasi rasa sakit. Ini kerana, dikhuatiri ubat tersebut boleh memberi kesan kepada si manja anda.

Tips Penggunaan Pam Susu Ketika Payudara Bengkak

Seperti yang kita tahu, bengkak susu berlaku akibat susu berlebihan di payudara yang tidak dikeluarkan.

Namun, anda disarankan untuk tidak mengepam susu ketika payudara sedang bengkak.

Mengepam ketika payudara sedang bengkak dipercayai boleh menyebabkan bengkak lambat surut dan boleh mengakibatkan keadaan semakin teruk.

Sebaliknya, anda disarankan untuk memerah menggunakan tangan. Dengan cara ini, anda boleh merasai setiap satu saluran pada payudara.

Selain itu, ada juga yang berpendapat keadaan tangan yang panas dapat membantu melancarkan aliran susu yang tersumbat.

Ketika bengkak pada payudara menjadi agak reda, anda boleh memilih untuk menggunakan pam susu pada mod yang paling rendah atau ringan bagi mengurangkan tekanan.

bengkak susu
Penggunaan pam susu yang betul boleh membantu mengatasi masalah payudara bengkak.

Jangan Biar Berlanjutan, Dapatkan Nasihat Doktor

Walaupun masalah ini boleh dirawat di rumah tanpa perlu bantuan doktor, namun ia tidak boleh diambil mudah.

Sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi risiko kesihatan kepada si ibu.

Jadi, para ibu boleh mencuba kaedah rawatan yang telah kami kongsikan. Anda juga boleh kerapkan sesi penyusuan sehingga 10 ke 12 kali sehari.

Sekiranya masih ragu dan keadaan masih tidak reda, anda boleh dapatkan nasihat daripada doktor.

Sokongan daripada pakar laktasi juga dapat membantu ibu memperbaiki teknik penyusuan dan mengurangkan risiko masalah ini berulang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, bengkak susu adalah cabaran biasa bagi ibu menyusu, tetapi ia boleh diatasi dengan langkah yang betul.

Penyusuan yang kerap, penggunaan pam susu yang sesuai, dan rawatan awal adalah kunci untuk mengelakkan komplikasi.

Jangan ragu untuk mendapatkan bantuan profesional jika diperlukan, kerana kesihatan ibu adalah sama penting dengan kesihatan bayi.

Sumber:

  1. Breast Engorgement: Causes and Tips for Relief. Healthline
  2. Breast Engorgement. Health Direct

About admin